Cerpen : Hingga Ke Titisan Terakhir


Malam yang dingin. Rahman melihat adiknya, Sarah yang tidur dengan nyenyaknya walaupun hanya beralaskan sekeping kotak. Rahman perlu berjaga demi keselamatan mereka. Dia sering gelisah akan adiknya kerana hanya Sarah sahajalah darah dagingnya yang tinggal setelah kematian ibu bapa mereka. Apabila ada sahaja waktu yang terluang, Rahman hanya teringatkan kenangan bersama dengan ibu bapanya. Betapa pilu hatinya mengenangkan semua itu. Ayah Rahman merupakan seorang penulis yang terkenal dengan keberaniannya dalam menentang orang-orang Serb yang datang menjajah bumi kelahiran mereka. Coretan-coretan hasil penulisan ayah Rahman banyak membantu menaikkan semangat patriotisme para pembacanya. Dialah ayah Rahman yang tidak gentar dengan orang Serb yang begitu kejam kepada mereka semua. Rahman begitu bangga dengan ayahnya yang memiliki perasaan cintakan tanah air sangat kuat sehinggakan dia terpengaruh dengan sikap yang ada pada ayahnya.
Ayah Rahman sering memberi kata-kata nasihat kepadanya agar tidak menjadi tali barut orang Serb ataupun tunduk kepada arahan mereka walaupun terpaksa mengorbankan nyawa sekalipun kerana kedaulatan tanah air merupakan segala-galanya dalam hati mereka. Banyak kemusnahan yang telah dilakukan oleh orang Serb ke atas bumi kelahiran mereka. Setiap hari, mereka diselubung dengan ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan mereka. Ramai penduduk yang sudah mati diseksa dan dibunuh dengan kejam iaitu dengan penyembelihan. Penduduk yang beragama Islam terutamanya menghadapi keperitan disebabkan oleh kekejaman orang-orang Serb yang diketuai oleh Jeneral Ratko Mladic. Rumah Rahman sekeluarga terletak di atas bukit yang terlindung dari pandangan orang-orang Serb yang zalim itu. Ayah Rahman berkawan baik dengan Pakcik Amir yang juga seorang penulis tanah air. Mereka sering meluangkan masa bersama-sama sehinggakan Pakcik Amir dianggap seperti ahli keluarga sendiri. Rahman masih ingat jika ayahnya hendak pergi ke pekan, dia akan mengenakan baju yang compang camping seperti orang yang kurang siuman. Itu hanyalah semata-mata untuk keselamatan dirinya semasa dia cuba untuk mendapatkan sumber makanan untuk mereka anak beranak.
Ibu Rahman pula terpaksa berkurung di rumah sahaja kerana bimbang keselamatannya terancam. Rahman pula akan bertindak sebagai ketua keluarga menjaga keselamatan ibu dan adiknya bagi menggantikan ayahnya yang pergi ke pekan mencari sumber makanan. Dia masih teringat janji terakhir ayahnya. Ayahnya akan memberinya peluang menghasilkan penulisan untuk diselitkan dalam akhbar yang ayahnya usahakan jika dia berjaya mendapat markah tertinggi dalam kelasnya. Air mata Rahman berlinangan tidak henti-henti mengenangkannya. Detik itu tidak akan mampu dia lupakan sehinggalah dia menghembuskan nafas yang terakhir. Begitu pilu dan sebak dada Rahman terkenangkan peristiwa hitam kematian ibu bapanya. Dia masih ingat betapa gembira dirinya ketika menerima keputusan yang begitu cemerlang. Dia tidak sabar untuk pulang ke rumah. Dia menunggu adiknya di hadapan kelasnya untuk pulang bersama-sama. Sepanjang perjalanan mereka pulang dia tidak henti-henti menceritakan semua usahanya belajar siang dan malam untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang kepada Sarah.
Tiba sahaja mereka berdekatan dengan semak samun yang lebih kurang 100 meter dari rumahnya, kedengaran suara ibunya yang menjerit meminta pertolongan. Rahman kemudiannya menarik tangan adiknya untuk bersembunyi di sebalik semak samun itu. Mereka berdiam terdiam kaku namun hati berdebar kerisauan. Dia melihat Pakcik Amir lengkap berpakaian seperti askar-askar orang Serb. Askar-askar yang lain juga ada bersamanya. Pakcik Amir ketawa berdekah-dekah apabila ayah Rahman memanggilnya pengkhianat bangsa. Ayah Rahman dibelasah teruk sementara ibunya dipegang oleh askar yang lain. Rahman sangat marah terhadap Pakcik Amir yang mengkianati mereka sekeluarga. Dia memeluk Sarah agar Sarah tidak menyaksikan semua itu. Semakin keras Sarah cuba untuk melepaskan pelukan abangnya, semakin keras dan erat pelukan Rahman. Air mata tidak henti-henti membasahi pipi mereka berdua.
“Ayah..”. Bisik hati Rahman melihat ayahnya dibelasah askar-askar itu tanpa henti. Bagai nak gila Rahman menahan kemarahannya. Kalau diikutkan hatinya, hendak sahaja dia berlari ke arah Pakcik Amir untuk membalas perbuatannya terhadap ayahnya. Namun apakan daya. Dia juga perlu melindungi adiknya, Sarah yang baru berumur 10 tahun. Pakcik Amir terus berdiri berhampiran ayah Rahman dan memijak tangan kanan ayahnya. “Ini tangan yang kau guna untuk menentang orang Serb, Adam! Baru padan muka kau! Ini balasannya! Mana anak kau?! Hah!”, bentak Pakcik Amir sambil mengesat-ngesat kaki ayahnya. “Jeneral Ratko Mladic sangat baik kepadaku dan aku memperoleh kesenangan.” Tambahnya lagi. Ayah Rahman tidak mampu lagi berkata-kata. Hanya darah yang tidak henti-henti keluar dari mulut ayah Rahman. Pakcik Amir terus mengambil senapang patah dan diacukan tepat di kepala ayahnya. Rahman terus memeluk Sarah dengan begitu kuat. “Selamat tinggal kawanku.” Pakcik Amir dan askar yang lain ketawa berdekah-dekah dan terus menembak ayah Rahman. Kedengaran jeritan ibunya yang melihat suaminya mati dihadapannya. “Sekarang giliran kau pula.” Pakcik Amir mencengkam leher ibu Rahman tanpa belas kasihan.
Ibu Rahman pun terus meludah ke arah Pakcik Amir kerana perasaan benci yang lahir dari hati. Wajah Pakcik Amir berubah menjadi marah atas tindakan ibu Rahman itu. Dia terus menampar kuat ibu Rahman. “Kamu pegang tangannya.” Pakcik Amir mengarahkan askar yang lain. Di hadapan mata Rahman, ibunya dirogol tanpa belas kasihan. Selepas itu, Pakcik Amir menembak kepala ibu Rahman sama seperti ayahnya. Mereka berlalu pergi dari situ diringi dengan ketawa yang membuatkan hati Rahman dipenuhi dengan dendam yang membara. Dia berazam untuk membalas dendam terhadap orang-orang Serb terutamanya Pakcik Amir yang telah menjadi pengkhianat bangsa dan tanah air. Setelah Rahman memastikan keadaan selamat, dia pun melepaskan adiknya. Sarah yang ketika itu menangis tidak henti-henti berlari mendapatkan ibu bapanya yang terbaring kaku di atas tanah.
Lamunan Rahman terhenti apabila bahunya disentuh. Dia terkejut dan terus menghunuskan parang ke arah orang tersebut. “Siapa kau?!”. “Sabar anak. Saya Danial. Itu Tuan Scorvich dan rakan-rakan yang lain.” Orang itu memperkenalkan dirinya dan rakan-rakan bersamanya terhadap Rahman. Rahman menjadi tenang semula apabila mengetahui perjuangan mereka sehala iaitu hendak menentang kekejaman orang Serb di tanah air mereka. Rahman menceritakan segala-galanya kepada Tuan Scorvich yang menjadi pemimpin kepada orang tadi. Dia bersetuju untuk mengikuti persatuan mereka. Tuan Scorvich merupakan orang ternama di sana. Dia mempunyai rancangan untuk menewaskan orang Serb dari tanah air mereka. “Rahman, aku rasa baik kamu dan adik kamu ikut rombongan yang saya kumpul untuk dihantar ke Malaysia. Malaysia sebuah negara yang aman damai. Di sana kau akan mendapat perlindungan sepenuhnya bersama-sama dengan yang lain. Kamu juga akan dapat sambung belajar kembali.”, kata Tuan Scorvich kepada Rahman.
Rahman berfikir panjang. “Tuan, bolehkan tuan berjanji untuk memastikan adik saya selamat sepanjang berada di Malaysia?” Soal Rahman kepada Tuan Scorvich.
“Kenapa Rahman? Itu sudah pasti kerana saya berkawan rapat dengan duta negara kita di sana.”
“Kalau begitu tolong tuan. Tolong bawa adik saya sekali tuan. Tolong pastikan keselamatannya di sana. Saya ingin mengikuti perjuangan yang lain di sini.”
“Saya tidak akan pergi dari sini kerana saya ingin teruskan perjuangan ayah saya. Demi tanah air kita, saya tidak akan gentar. Biar putih tulang, jangan putih mata. Tolong izinkan saya menyertai persatuan tuan.”
Tuan Scorvich terdiam melihat kesungguhan seorang budak yang baru berusia 12 tahun itu. Walau pun usianya masih muda, namun dia sangat kagum dengan semangat patriotisme yang dimiliki oleh Rahman. Dia bersetuju dengan permintaan Rahman. Rahman melihat adiknya yang masih tidur kesejukan. Air matanya jatuh berlinangan lagi memikirkan mereka akan berpisah mungkin untuk selama-lamanya. Rahman yakin keputusannya untuk menghantar adiknya ke Malaysia ialah satu keputusan yang betul. Dia yakin bahawa tentu ayahnya membuat keputusan yang sama sepertinya. Dia tahu negara Malaysia terkenal dengan kemakmuran tanpa peperangan seperti yang berlaku di negaranya. “Bosnia negaraku tercinta, aku akan berjuang hingga ke titisan yang terakhir demi mempertahankanmu”. Bisik hati Rahman.
:: Nukilan : Nurlisa Kamba ::




Previous Post Next Post