Cerpen : Tak Seindah Bahasa


Sedang aku lena dibuai angin yang bertiup lembut menyapa pipiku, ditambah lagi dengan suara ombak pantai yang tenang membuai aku masuk ke alam separa sedar mindaku. Fikiran semakin tenang mengikuti rentak suasana yang membawa jiwaku semakin hanyut dan hanyut. Buaian tempat pembaringanku seolah-olah terhenti seiring dengan masa.  Sungguh tenang.

“Pakkkk!!”. Aku tersentak kerana terkejut! Aku menoleh kanan dan kiriku. Lantas gelak tawa nun aku dengari di belakang pokok kelapa. Kelihatannya, kanak-kanak riang mempermainkan aku. Sungguh nakal. Namun, aku hanya tersenyum melihat mereka lari lintang pukang tetapi dengan wajah yang puas.

            Sudah lama rasanya aku tidak merasai ketenangan kampung halamanku disebabkan kesibukan mencari hasil duniawi untuk menyara kehidupanku. Walaupun aku pada mulanya hanyalah budak kampung yang ke hulu ke hilir dengan gitar kapokku, lalu aku dendangkan lagu-lagu terhangat di radio dan mengelilingi kampung bersama rakan sepermainanku. Sungguh lucu. Tersenyum sendiri bila aku terkenangkan kembali kisah lama itu. Tetap aku sematkan dalam kotak memori indah yang takkan ku lupa sepanjang hayatku. Aku kini bangga dan bersyukur kerana minat yang aku tanam dahulu kemudiannya kembang mekar seiring dengan kejayaanku sebagai pencipta lagu popular seluruh negara. Sungguh bersyukur.

            Lamunanku terhenti dek deringan telefonku. “Bro, where are you right now?”. Syukri artis rakaman tempat syarikat aku bekerja menelefonku. Syukri merupakan artis lelaki yang baru meningkat naik di mata masyarakat dengan lagu terbarunya. Lagu tersebut ialah hasil ciptaanku. Aku kini semakin rapat dengannya. “Saya di kampung sekarang. Kenapa Syukri?”, balasku. “Aku tak puas hati betollah! Ko tau tak si A tu menghina aku dan agama kita la! Rasa macam nak bakar saja rumah dia tu. Geram betul aku dibuatnya. Kalo aku jumpa dia kat mana-mana, siap dia aku kerjakan. Biar dia tahu langit dan bumi!”, marah sungguh Syukri sekarang. Aku hanya setia mendengar luahan amarahnya dan cuba untuk memujuknya.

            Syukri berkeras memujukku untuk mencipta lagu rap sebagai balasan kepada lagu yang dinyanyikan oleh A. Minggu depan satu pertandingan Rapping Star akan diadakan. Dikhabarkan A akan ikut bertanding dengan membawa lagunya yang menghina musuh ketatnya itu, iaitu Syukri. Mereka berasal dari rancangan realiti yang sama di televisyen di mana Syukri berjaya merangkul gelaran juara, manakala A di tempat kedua. A tidak berpuas hati dengan keputusan itu kerana dia merasakan bahawa dialah yang terbaik antara kesemua peserta.

            “Yang aku paling tak tahan, dia hina azan kita ni! Walaupun tak direct kata-kata dia tu, tapi kalau ko hayati betul-betul, dia memang kurang ajar! Sekarang ni, aku nak ko ciptakan aku lagu rap balas balik! Aku nak kaw-kaw habis dia dengan keturunannya sekali!.” Aku menarik nafas panjang sebelum membalas kata-katanya.

            “Syukri, saya tak akan buat lagu seperti yang awak mahukan. Jika awak ada maruah dan harga diri, janganlah awak nak saya buat lagu berunsurkan penghinaan. Biarlah A tu dengan lagunya. Lagipun lagu tersebut belum pernah disiarkan dan mungkin belum ditapis lagi. Memang dia sangat biadap tapi jika awak lakukan benda yang sama, keadaan akan menjadi lebih teruk. Api jangan dilawan dengan api. Kelak marak mengancam jiwa.”

            “Aku tak kira! Kalau ko taknak tolong aku untuk Rapping Star ni, aku cari orang lain. Ko tak payah nak nasihat aku segala!”
“Bukan begitu Syukri. Bahasa kita indah. Jangan dirosakkan keindahan bahasa kita. Saya boleh ciptakan lagu terbaik untuk awak, sebagai balasan kepada lagu A tu.”
“Eh! Betul ka ni. Thank bro. You’re the man. Hahahaha.”
Panggilan itu diputuskan tanpa aku sempat untuk menjelaskannya. Nampaknya berharap sungguh Syukri terhadap lagu baru yang akan disampaikan nanti. Aku memandang ke langit, walau siapa pun kita, kita tetap memandang langit yang sama. Nampaknya aku hanya ada tiga hari sahaja untuk menyiapkan sebuah lagu. Hasrat aku untuk berehat di kampung tanpa memikirkan soal pekerjaan terpaksa aku lupakan.

Tiga hari kemudian, Syukri datang ke syarikat dengan wajah yang sungguh gembira kerana tidak sabar mencuba lagu barunya itu.
“Hello bro. What up!”
“Assalamualaikum Syukri. Duduklah. Ini lagu awak. Tengoklah.”
“Errr..waalaikumsalam. Emm. What! Tak Seindah Bahasa Kita! Apa ni! Tajuk lagu dah aku tak suka bro! Then, mana kata-kata yang aku nak bantai mamat tu!
“Sabar Syukri. Saya nak awak rapping lagu ni. Lagu ni sangat sedap dan saya yakin awak akan menang. Lirik lagu ni saya cipta untuk meningkatkan rasa hormat masyarakat terhadap bahasa dan perpaduan negara kita.”
“Hey bro, aku nak kau cipta lagu untuk menghina A bukan aku alright!”
“Maaf Syukri. Bukan saya nak hina awak. Awak jangan salah sangka. Malah saya nak tolong awak.”
Syukri berlalu pergi dari syarikat dengan lirik lagu tersebut dengan wajahnya yang kelat.

***********
~ Ehsan Google ~

Aku menaiki tangga menuju ke kompleks tempat Rapping Star diadakan. Hatiku berdebar-debar. Aku berjalan mencari tempat duduk yang kurasakan selesa. Oleh kerana aku merupakan salah seorang jemputan khas, maka aku telah disediakan tempat duduk di barisan hadapan.

Akhirnya, tibalah giliran A membuat persembahan. Kira-kira baru dua minit dia membuat persembahan yang membuatkan telingaku agak panas mendengar bait-bait lirik lagunya, orang ramai mula membaling tin minuman, botol, dan apa sahaja yang ada lantaran tidak berpuas hati. Keadaan mulai kecoh. Tiba-tiba naik seorang pemuda dan membelasah A dengan begitu pantas sekali. Pihak polis datang mententeramkan orang ramai dan dua orang lagi anggota polis melindungi A dan membawanya pergi untuk disoal siasat.

Keadaan kembali tenang dengan kebijaksanaan pihak polis mengawal kekecohan yang ditimbulkan. Giliran seterusnya ialah Syukri. Kelihatan Syukri muncul dengan berbaju Melayu tetapi berseluarkan jeans. Aku tergelak kecil melihat penampilannya.

“Baiklah, sebelum saya memulakan persembahan ini, saya ingin ucapkan terima kasih kepada pencipta lagu ini iaitu Encik Adam kerana lagu beliau telah menyedarkan saya betapa ruginya kita tidak menghargai bahasa dan budaya ketimuran kita. Saya berharap semua penonton dapat merasakan perkara yang sama. Terimalah persembahan daripada saya”.

Tidak semena-menanya, Syukri mendapat tepukan gemuruh seluruh dewan. Aku tersenyum gembira melihat Syukri menyampaikan lagu tersebut dengan baik. Tak Seindah Bahasa Kita merupakan karyaku yang terbaik sepanjang hidupku. Keputusan diumumkan di mana Syukri merangkul gelaran juara. Piala kejuaraan dijulang tinggi. Dia memandang aku. Aku memandang dia. Kami hanya tersenyum. 
:: Hasil Nukilan ~ Nurlisa Kamba ::

p/s : Cintailah bahasa kebangsaan kita....


Previous Post Next Post